Rabu, 17 Oktober 2012

Halalan Toyyiba' (Halal Lagi Baik)

Pastikah anda belacan yang kita makan untuk dibuat sambal dibuat dengan cara yang bersih???? Ikuti pendedahan ini......

Utamakan jaminan kebersihan, kualiti penyediaan makanan halal

PENDEDAHAN TV3 dalam rancangan 360 mengenai kerendahan kualiti penyediaan tauhu, penyembelihan binatang dan kebersihan premis penyediaan makanan pasti meloyakan semua pelanggan yang menontonnya.
Apatah lagi aspek kualiti kebersihan dipandang remeh oleh pekerja-pekerja premis tersebut seolah-olah ia bukan perkara asing bagi mereka yang bekerja dalam keadaan kotor lagi menjijikkan.
Sebelum ini pun kita telah didedahkan mengenai premis yang menyediakan belacan turut mengejutkan orang awam yang tidak menyangka bahan penyedap yang dimasukkan ke dalam makanan harian kita disediakan dengan begitu daif, kotor dan menjijikkan.

Ini belum dikira lagi berapa ramai antara penyedia premis makanan yang mencampurkan makanan yang tidak habis hari sebelumnya, tidak memanaskan makanan pada suhu yang tinggi, mencairkan makanan sejuk beku dan pelbagai langkah kawalan bagi memastikan kualiti makanan adalah selamat untuk dihidangkan.
Apakah ini rupa bentuk pengendali premis yang hanya tahu mengaut keuntungan daripada pelanggan mereka sendiri. Di mana pula nilai-nilai mengutamakan kebersihan yang menjadi pegangan agama masing-masing? Apakah mereka sedar hidangan kepada pelanggan sebenarnya diiringi dengan kuman, toksik dan racun yang boleh membawa maut.
Ini belum lagi ditinjau kebersihan tandas, penyelenggaraan bangunan, sistem perparitan, termasuklah kebersihan diri pekerja mereka sendiri. Andainya semua aspek ini menjadi indeks kebersihan, masyarakat kita akan dikenali sebagai masyarakat pengotor lagi tidak bertamadun.
Dalam Islam aspek kebersihan bukan sahaja dilihat dari sudut untuk beribadat sahaja bahkan ia menjadi darah daging dan cara hidup seseorang Islam. Bermula dari bangun pagi hinggalah ke tempat tidur, aspek kebersihan merupakan tonggak aktiviti harian.
Apatah lagi melibatkan soal makanan dan minuman halal yang menjadi darah daging dan kekuatan fizikal untuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah. Lihat sahaja buktinya dalam bab Taharah (bersuci) dan jenis-jenis air untuk bersuci. Para ulama banyak membincangkan aspek bersuci kerana ia sebahagian syarat-syarat sah untuk menunaikan ibadat-ibadat yang lain.
Sebagai contohnya bukti kebersihan itu apabila kita diajar untuk membersihkan sesuatu dengan air yang mengalir atau menyiram ke atas benda yang hendak dibersihkan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Kebersihan adalah sebahagian daripada iman”.
Begitulah peri pentingnya keimanan yang hendak disemai dengan aspek kebersihan menjadi faktor penyumbang peningkatan iman kepada Allah s.w.t.
Ia tidak terkecuali dari aspek penyembelihan binatang dengan penuh adab dan rukun-rukun yang tersendiri.
Banyak kajian sains kesihatan membuktikan penyakit datang daripada makanan. Makanan yang kotor juga menjadi punca keracunan dan menjejaskan kesihatan yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit.
Apakah hak kita sebagai pengguna? Adakah kerana rasanya yang ‘sedap’ menjadikan kita sendiri dipukau untuk terus menjadi pelanggan mereka setiap hari? Pastinya boikot adalah ‘ubat’ mujarab bagi mereka yang tidak menghiraukan sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa. Sentiasalah memerhatikan keadaan sekeliling gerai atau premis di tempat kita makan.
Oleh itu aspek penyediaan makanan dan minuman harus diutamakan oleh semua pihak terutama kepada pengendali premis ataupun gerai. Ia bukan sahaja menjadikan kita dikenali dengan kebersihan malah boleh mencegah merebaknya penyakit berjangkit yang berpunca daripada makanan tercemar akibat aspek kebersihan yang diabaikan.
Sememangnya makanan adalah penting dan sangat bermanfaat kepada tubuh badan kita tetapi janganlah hingga menjadikan ia suatu yang memudaratkan akibat kejahilan manusia mengabaikan aspek kebersihan.
* RAHISAM RAMLI ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka.

Tiada ulasan: