Khamis, 4 Oktober 2012

Eksport Produk Halal Malaysia

MALAYSIA dijangka mampu mengekalkan nilai eksport halal ke negara asing berjumlah RM35 bilion tahun ini dan ia kadar sama dicatat tahun lalu bersandarkan peluang pasaran global yang luas untuk diterokai pemain industri halal tempatan.
Setakat separuh tahun ini, Malaysia mencatatkan nilai eksport halal RM16.3 bilion dengan China dan Singapura adalah rakan dagangan terbesar.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, catatan jumlah eksport halal tahun lalu menjadikan Malaysia sebagai negara terbesar eksport halal global dalam kepelbagaian produk.

Beliau berkata, pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat sebagai penyumbang utama bagi Malaysia meraih rekod berkenaan dan syarikat Bumiputera sudah menyumbang 20 peratus daripada 35 bilion itu.

“Walaupun situasi ketidaktentuan ekonomi global, industri halal dilihat tidak begitu terjejas kerana ia amat diperlukan lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia dan pasarannya luas untuk diterokai serta bukan sekadar tertumpu kepada produk makanan.


“Kemampuan Malaysia menyediakan kepelbagaian produk halal seperti makanan, farmaseutikal dan perkhidmatan dijangka membantu kita meraih jumlah eksport sama tahun ini,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers) bersama CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis MoU itu diadakan bagi menyokong penganjuran Halal Fiesta Malaysia 2012 (Halfest 2012) pada 10 hingga 14 Oktober ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: